BAGAIMANA MENJADI PEMIMPIN

Bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Sedikit sangat jumlah di kalangan manusia yang memiliki ciri-ciri serta syarat-syarat kelayakan sebagai pemimpin. Dalam ajaran Islam, pemimpin itu adalah orang yang sangat berwibawa dan berupaya membawa manusia kepada Tuhan, punya ilmu untuk menunjuk ajar manusia dengan syariat Tuhan, mampu mendidik hati manusia ke arah iman dan taqwa, mampu menjinakkan nafsu manusia sebagaimana dia menundukkan nafsu dirinya. Sifat-sifat kekhalifahannya sangat menonjol dan sekaligus sifat-sifat kehambaannya juga seiring, yakni sangat menonjol.

Dialah yang berperanan menghubungkan hati manusia kepada Tuhan.

Di dunia hari ini orang yang bergelar Presiden, Perdana Menteri, Sultan,
Raja, Amir, Yang Dipertua, Pengerusi atau apa saja panggilan, yang kedudukan
mereka di atas, atau status sosial paling tinggi, sebenarnya bukan pemimpin.
Mereka, tidak lebih dari pentadbir atau pengurus. Mereka tidak pernah
memimpin manusia. Mereka hanyalah orang yang mentadbir dan menguruskan
benda, pembangunan, kemajuan, makan minum, pelajaran, kesihatan, ekonomi,
pertanian, kewangan dan lain-lainnya. Mereka bukan sahaja tidak membawa hati
manusia kepada Tuhan, bahkan kadang-kadang menjadi penghalang kepada manusia
lain yang mahu kepada Tuhan. Mereka bukan sahaja tidak mengatur kehidupan
manusia dengan syariat, bahkan melalui kuasa yang ada mereka menjadi
penganjur maksiat dan kemungkaran.

Inilah di antara salah faham manusia tentang kepimpinan. Sebab itu tidak
hairan, di mana-mana saja berlaku perebutan untuk menjadi pemimpin. Ada yang
sanggup hingga ke peringkat mengorbankan nyawa pengikut demi mencapai
cita-cita kepimpinan. Adakalanya tercetus permusuhan, jatuh-menjatuh,
tindas-menindas bahkan peperangan hingga puluhan tahun kerana perebutan
untuk menjadi pemimpin. Sedangkan masing-masing hanyalah menegak dan
memperjuangkan kepalsuan. Siapa pun yang berjaya, tetap tidak mengubah
apa-apa erti kepimpinan itu selain mentadbir dan mengurus hal yang sama yang
tiada sangkut paut dengan hati manusia.

Seluruh alam semesta ini adalah milik Tuhan. Manusia diberi amanah untuk
menjadikan seluruh alam semesta ini sebagai alat untuk mentaati Tuhan. Semua
keperluan manusia yang Tuhan sediakan, tidak lain kecuali untuk manusia
melihat kebesaran dan kekuasaan Tuhan, sekaligus merasakan betapa kerdilnya
diri, lantas tunduk dan patuh kepada Tuhan. Namun, nafsu sering
menyelewengkan maksud dan tujuan Tuhan tersebut. Nafsu sentiasa saja
menjadikan manusia hanya tertumpu kepada seluruh makhluk ciptaan Tuhan
tetapi melupai Tuhan yang menciptanya. Lantaran itulah Tuhan utus para
rasul, yang tujuan utama ialah mengembalikan tujuan asal penciptaan manusia
iaitu mengabdikan diri kepada Tuhan. Bahkan Tuhan jadikan fitrah semulajadi
manusia itu mengenali Tuhan. Fitrah itulah yang dibongkar oleh para rasul.

Selepas ketiadaan para rasul, tugas membawa manusia kepada Tuhan dilakukan
oleh para ulama dan pejuang Islam khususnya mereka yang berwatak rasul.
Sebab mana mungkin seseorang itu membuat kerja-kerja rasul, kalau dia tidak
mewarisi watak-watak rasul. Jadi, kejayaan mereka sangat bergantung kepada
sejauh mana mereka mewarisi sifat-sifat, ciri-ciri, akhlak dan keperibadian
para rasul. Ertinya mereka yang berjaya hanyalah dari kalangan mereka yang
menjadi salinan atau photocopy kepada keperibadian Nabi SAW. Tentulah tidak
akan mencapai 100% kesempurnaan peribadi Rasulullah SAW. Sifatnya sebagai
salinan tentulah apa yang dimiliki lebih nipis atau lebih rendah peratusnya,
tetapi apa saja yang dimiliki oleh Rasulullah SAW, itu jugalah yang
dimilikinya. Ini bererti bahawa dirinya adalah bayangan Rasulullah SAW. Pada
diri Rasulullah SAW itu adanya tanda-tanda atau sifat-sifat ketuhanan
(ayatullah) yang paling tebal dan sempurna. Melihat peribadi dan akhlaknya,
fitrah rasa bertuhan pada manusia amat mudah terbongkar sehingga dengan itu
manusia dapat merasa bertuhan.

Contohnya, dengan melihat pengasihnya Rasulullah SAW, manusia akan dapat
merasa betapa Pengasihnya Tuhan. Demikian juga sabarnya, pemurahnya, kasih
sayangnya dan lain-lain, menjadikan manusia jatuh cinta kepada Tuhan yang
mempunyai sifat-sifat yang maha agung lagi maha sempurna itu. Maka begitulah
juga Tuhan jadikan kepada pemimpin bayangan Rasulullah SAW di sepanjang
zaman. Sehingga dengan itu tidak putuslah manusia ini dari adanya orang yang
dapat membawa manusia kepada Tuhan. Manusia terasa indah serta dengan cepat
terbongkar rasa bertuhan apabila bertemu dan berdamping dengan pemimpin yang
punyai akhlak bayangan Rasulullah SAW yang perinciannya adalah seperti
berikut.

1. Lemah-lembut
Allah SWT turut memberi peringatan kepada Rasulullah SAW tentang betapa
manusia akan lari atau menjauhkan diri sekiranya bersikap keras dan kasar.
Kebanyakan manusia yang memang telah sedia liar akan bertambah liar
sekiranya para pemimpin menampilkan sikap yang menakutkan mereka. Mereka
memanglah dari golongan yang tidak mengenal kebenaran. Sekiranya pembawa dan
penjaja kebenaran bersikap bengis, baran, ganas dan kasar, bagaimana mereka
dapat menerima kebenaran itu? Adakalanya mereka bukan menolak kebenaran,
tetapi menolak para pembawa kebenaran. Apabila pembawa kebenaran ditolak,
secara automatik kebenaran tidak dapat disampaikan. Sebelum kebenaran dapat
disampaikan, adalah lebih berkesan sekiranya manusia dapat menerima pembawa
kebenaran itu dulu.

2. Kasih sayang dan pemurah
Kasih sayang adalah sifat utama milik Tuhan yang Tuhan sendiri mahu
hamba-Nya mengenal-Nya dengan sifat tersebut. Sebab itu dalam apa saja
pekerjaan atau amal, Tuhan mahu dimulai menyebut nama-Nya yang pemurah dan
pengasih. Pemimpin kasih sayang adalah lambang perpaduan, manusia dapat
bernaung di bawah pimpinannya. Manusia rasa terbela dan terdidik. Melalui
kasih sayang, hati yang keras menjadi lembut dan cair untuk menerima
kebenaran. Hati yang liar dari Tuhan menjadi jinak. Ramai manusia yang
kehidupannya rosak dan punah berpunca dari ketiadaan kasih sayang.
Sebaliknya pula boleh berubah secara mendadak apabila diberikan kasih
sayang. Hati yang gersang itu seolah-olah disirami air sehingga benih-benih
iman subur semula. Tanpa perlu bersyarah panjang meleret atau tanpa perlu
bercakap banyak, melalui kasih sayang, hati manusia merasa bertuhan. Hati
manusia akan mudah merasakan, “Sedangkan pemimpin ‘kasih sayang’ sudah
terasa keindahan mendampinginya, betapalah Tuhan yang bersifat Pengasih yang
menjadikan pemimpin ‘kasih sayang’ tersebut.”

3. Tidak emosi
Seorang pemimpin yang ’emosional’, dalam erti kata sangat mudah
memperlihatkan perubahan sikap dan watak mengikut situasi, sama ada yang
menggembirakan atau menyusahkan, sama ada seronok atau benci, sama ada yang
disenangi mahupun meluat. Seringkali emosinya itu tidak dapat dibendung atau
dikawal. Kalau sesuatu yang disukai, menyeronokkan, yang disenangi dan
menggembirakan, diperlihatkan atau diluah atau ditonjolkan kelebihan.
Begitulah juga sebaliknya terhadap sesuatu yang dibenci, meluat, yang tidak
disenangi, tidak selesa dan tidak sesuai dengan selera. Bagi seorang
pemimpin, keterlaluan dalam menonjolkan emosi akan menjatuhkan maruah dan
wibawa, lebih-lebih lagi kalau emosi itu terhadap yang dibencinya. Pemimpin
sejati pembawa kebenaran bayangan Rasulullah SAW itu tidak emosi terutamanya
apabila dikritik. Kritikan adalah sesuatu yang amat tidak disenangi oleh
para pemimpin. Emosinya sangat tergugat, tersentuh dan tercabar apabila
dikritik. Mudah saja melenting, melatah, marah-marah mempertahankan dirinya
sekaligus akan menyerang kembali saingannya, pengkritik atau musuhnya.

Adakalanya dia kembali menyerang dengan membuta-tuli tanpa usul periksa,
tanpa menimbang dan menilai kebenaran sesuatu kritikan. Malah sampai
diiringi pula dengan tindak balas menghukum pengkritik. Alangkah tidak
bermaruah apabila didapati bahawa pengkritik itu di pihak yang benar.
Tentulah amat sukar untuk menebus kembali kesilapannya itu. Lantas
kadang-kadang terpaksa bertindak lebih ganas untuk menutup segala
kesilapannya. Ini akan mendatangkan akibat lebih buruk lagi di mana boleh
menghakis kepercayaan lebih ramai manusia.

Seorang pemimpin kebenaran tidak emosi. Dia sentiasa membiarkan kritikan itu
berlalu begitu saja. Sama ada dirinya di pihak yang benar atau sebaliknya,
emosinya tetap terkawal. Ketenangan itu seringkali membuahkan kesan positif,
terutamanya apabila terbukti bahawa dirinya di pihak yang benar. Kalaupun
pengkritik tidak menyerah kalah, namun berjaya dapat menutup mulutnya atau
menjadikan pengkritik itu malu sendiri. Andainya ada juga benarnya di pihak
pengkritik, dengan cara tidak emosi itu dia mengambil langkah mengkoreksi
dirinya. Dengan cara itu bertambah lagi tinggi maruah dirinya yang akan
menambah kepercayaan manusia kepadanya. Adakalanya terdapat juga kritik yang
dilemparkan itu merupakan umpan para musuh. Apabila tidak dapat membendung
emosi maka musuh cepat mengenal kelemahan. Taktik provokasi ini, biasanya
musuh-musuh sudah menyediakan berbagai perangkap lain. Tidak hairan ramainya
pemimpin gagal dalam berhadapan dengan karenah manusia kerana menghadapi
mereka dengan penuh emosi.

4. Mendoakan penentang
Kebenaran (hak) itu datangnya dari Tuhan. Pemimpin kebenaran khususnya para
rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan sifat
wajib bagi rasul itu salah satu daripadanya ialah menyampaikan. Mereka tidak
boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf. Demikianlah juga
cita-cita dan keazaman yang dimiliki oleh pemimpin kebenaran di sepanjang
zaman. Pemimpin pilihan Tuhan, yang mereka itu dipimpin oleh Tuhan, hati
mereka dicanai sama seperti hati para rasul. Mereka merasa berdosa andainya
tidak menyampaikan kebenaran.

Halangan serta risiko tidak dihiraukannya. Bahkan mereka menganggap halangan
dan risiko itu sebagai sunnatullah. Bagi pemimpin kebenaran, apa yang lebih
dititikberatkan ialah bagaimana kebenaran itu mesti disampaikan dan
disebarluas. Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka bagi
pemimpin kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari
jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang.
Pemimpin kebenaran tetap berpegang kepada prinsip bahawa “manusia memusuhi
apa yang dia tidak tahu.” Oleh itu mereka mahu musuhnya menjadi tahu dan
faham sehingga menerima kebenaran.

Menundukkan musuh bukan untuk dirinya tetapi untuk Tuhan. Tunduk kepada
kebenaran ertinya tunduk kepada Tuhan. Pemimpin kebenaran yang bersifat
penyelamat ini hanya mahu manusia seluruhnya selamat dunia dan lebih-lebih
lagi Akhirat. Tidak selamat di Akhirat amat dahsyat akibatnya iaitu Neraka.
Neraka bukan perkara mainan kerana panasnya bukan macam api lilin. Sekiranya
sudah tidak ada lagi jalan lahiriah untuk penentangnya menerima kebenaran,
maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran
dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka sepanjang tempoh
menjadi penentang itu. Begitulah mulianya hati dan jiwa besar yang Tuhan
anugerahkan kepada pemimpin kebenaran. Inilah hati para rasul.

5. Kata-katanya penuh hikmah
Rasulullah SAW dianugerahkan oleh Tuhan keistimewaan atau kelebihan yang
mana kata-katanya tepat, ayatnya ringkas dan padat, tetapi mempunyai maksud
yang jelas dan mudah difahami. Inilah yang dimaksudkan hikmah dalam
berkata-kata. Begitulah juga yang Tuhan kurniakan kepada pemimpin kebenaran.
Percakapan atau kata-kata yang datang dari hati ini yang merupakan ilham
dari Tuhan, sangat mengandungi didikan dan pengajaran yang tinggi. Bahasa
dan susunan kata-katanya amat bermakna, mudah pula difahami dan bersifat
mendidik manusia. Sehingga dengan itu cepat pula manusia mengenal kebenaran
dan cepat menerima kebenaran. Lebih-lebih lagi apabila kata-katanya itu
datangnya dari hati, maka dengan mudah pula Tuhan jatuhkan di hati manusia.
Kata-kata yang datang dari hati itu turut disertai oleh rohnya yang terus
bekerja memproses hati manusia. Inilah di antara rahsia kejayaan para rasul
dalam menyampaikan kebenaran, dan begitu jugalah yang Tuhan kurniakan kepada
pemimpin kebenaran kerana Tuhan mahu kebenaran itu mudah diterima oleh
manusia.

6. Mengingatkan kepada Tuhan dan menyedarkan kepada mati
Dalam ajaran Islam perkara yang terpokok ialah yang terkandung dalam Rukun
Iman. Manakala dari keseluruhan Rukun Iman itu, keimanan kepada Tuhanlah
yang mengatasi segala-galanya. Maka dalam memperjuangkan Tuhan ini,
Rasulullah SAW sendiri mengambil masa tiga belas tahun. Manakala hanya
sepuluh tahun memperjuangkan syariat yang amat banyak itu. Ini membawa
maksud bahawa mesti memperjuangkan Tuhan terlebih dahulu. Apabila manusia
sudah merasai bertuhan, syariat Tuhan amat mudah diterima.

Pemimpin kebenaran, yang mana kebenaran itu tetap sama, tetap tidak berubah
sepanjang zaman, maka itulah juga yang dilakukan iaitu mereka sangat
mengajak manusia kepada Tuhan. Sangat mengajak manusia kepada rasa kehambaan
dan rasa bertuhan. Sangat mengajak manusia merasai keagungan dan kebesaran
Tuhan. Mengingatkan manusia mengenai Tuhanlah segala-galanya, dan perlunya
membawa Tuhan dalam segala urusan. Tuhanlah yang paling utama yang mesti
diberi perhatian dibandingkan dengan urusan lain.

Pemimpin kebenaran juga sangat mementingkan kehidupan Akhirat. Dunia ini
sementara saja dan semata-mata alat menuju Tuhan. Alat untuk mencapai maksud
iaitu menuju Tuhan dan mendapat ganjaran Akhirat. Apa saja yang dilakukan
semuanya membawa maksud yang demikian itu. Bukan mudah untuk membawa hati
manusia merasa takut kepada Tuhan dan sekaligus memandang besar akan
kehidupan Akhirat. Dua perkara inilah yang sangat diberi penekanan oleh
pemimpin kebenaran. Mereka tahu, manusia menjadi jahat kerana nafsu. Nafsu
pula sifatnya tidak takut kepada apa dan siapa pun. Apabila hati manusia
tidak takut kepada Tuhan dan tidak mengutamakan Akhirat, maka nafsu
bermaharajalela. Kejahatan di dunia hari ini kerana manusia hidup mengikut
nafsu, lantaran hati tidak takut kepada Tuhan, kerana tiada lagi orang yang
mengingatkan atau menyeru manusia kepada Tuhan. Untuk mengembalikan
kedamaian dan keselamatan di dunia maka pemimpin kebenaran sangat-sangat
mengingatkan manusia terhadap Tuhan dan tempat kembali tanpa penghujung
iaitu Akhirat.

7. Tutur kata dan bahasanya sangat dijaga
Kebaikan yang keluar melalui lidah memang banyak. Kejahatannya juga amat
banyak. Sehingga Rasulullah SAW kaitkan dengan iman seperti keterangan Hadis
yang bermaksud, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat,
hendaklah berkata yang baik atau diam.” Kebanyakan jenis kejahatan dari
lidah itu pula adalah dalam bentuk yang membabitkan orang atau pihak lain.
Dosa sesama manusia ini bukan terhenti setakat sukarnya diterima taubat dan
sukar mendapat pengampunan Tuhan, tetapi ianya juga sangat menjejaskan
hubungan sesama manusia.

Lidahlah yang menjadi penyebab kepada hilangnya kasih sayang, terjadinya
krisis dan perpecahan, menjadi punca pecah hati dan permusuhan. Perkataan
yang dihamburkan tanpa batasan, tanpa kawalan, tanpa tapisan, boleh
meretakkan hati. Apabila hati sudah terguris, kebenaran yang hendak disogok
menjadi hambar oleh para pendengar atau penerima. Di sinilah kelebihan dan
kejayaan seorang pemimpin kebenaran. Tuturkatanya bersukat, bahasanya
terpilih dan sangat dijaga. Jauh sekali dari umpat keji, maki hamun, sumpah
seranah, kata nista, memfitnah, menghasut, mengutuk, mengadu domba,
berbohong, memperleceh dan menghina orang.

8. Tenang menerima ujian
Pemimpin kebenaran pilihan Tuhan sudah pastilah dirinya adalah seorang
‘arifbillah. Sangat mengenal Tuhan, sangat memahami dan merasai kerja Tuhan.
Setiap benda, setiap kejadian, setiap peristiwa, seorang ‘arifbillah terus
mengaitkannya dengan Tuhan dan kerja Tuhan, menjadikannya amat sabar dan
tenang dalam menghadapinya. Selain dia dapat melihat dan merasakan itu
adalah kehendak Tuhan yang para hamba tiada kuasa menolaknya, dia juga dapat
melihat hikmah di sebalik ujian tersebut, yang di antaranya untuk menghapus
dosa, meningkatkan darjat, menambah rasa kehambaan, mendekatkan diri dengan
Tuhan, menajamkan dan menghidupkan akal dengan berfikir mencari jalan
mengatasinya, menguatkan atau mengebalkan jiwa yang sentiasa terdedah kepada
cabaran.

9. Tidak senang dengan pujian
Hati amat mudah berbunga apabila dipuji. Apabila menerima pujian, bunga hati
yang paling mekar ialah ujub atau hairankan diri. Merasa takjub, kagum serta
istimewanya diri kerana dikatakan mempunyai banyak kelebihan. Bagi seorang
pemimpin sejati, pujian tidak merosakkannya. Hatinya merasakan pujian
hanyalah untuk Tuhan semata-mata. Lantaran itu dia tidak senang dengan
pujian itu kerana bimbang kalau-kalau hilang rasa kehambaan dari hatinya.

Berbeza dengan kebanyakan pemimpin dunia yang rosak kerana pujian dari para
pengampu. Mereka lupa diri dan hilang rasa kehambaan. Akibatnya menjadi
bertambah rakus dan zalim. Akhirnya menjadi buta dari melihat cacat cela dan
kelemahan diri. Itu membuatkan dirinya tersungkur dan terhina lantaran
terlalu banyak membuat kesilapan. Perkara yang silap itu pun masih lagi
menerima pujian dari para pengampu yang sangat berkepentingan. Tuhan
langsung dilupakan.

10. Tidak menjawab kejian
Di sisi pemimpin sejati, pujian dan kejian hakikatnya sama sahaja. Mereka
tetap melihat kepada hikmah di sebalik kejian itu. Baginya, kalau ada
benarnya sesuatu kejian, maka kejian itu dapat digunakan untuk mengkoreksi
diri, untuk melihat cacat cela, kelemahan dan kekurangan diri. Dengan cara
itu dia dapat mempertingkatkan rasa kehambaan dan membaiki kelemahan.
Lihatlah sikap Rasulullah SAW yang memaafkan penduduk Thaif yang
menghinanya. Malah baginda mendoakan agar zuriat mereka akan menerima
kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

Untuk apa menjawab kejian orang yang tidak faham dan penuh hasad dengki?
Jawabnya ialah sia-sia sahaja selagi hasad dengkinya masih bersarang di
hati. Kalau dijawab juga ertinya akan memperpanjangkan tempoh permusuhan dan
melebarkan lagi jurang perhubungan. Terhadap golongan yang mengejinya, dia
ucapkan selamat sejahtera. Ertinya seolah-olah dia berkata kepada musuhnya:
“Aku dengan keyakinan aku dan pendirian aku dan tidak akan memusuhi kamu.
Terpulanglah kepada kamu, tapi apa yang kamu keji itu tidak akan menggugat
pegangan aku, hanya aku harapkan kamu menerima kebenaran.”

11. Marahnya Dalam Batas Syariat
Di antara sifat yang amat payah dikawal ialah pemarah, terutamanya oleh
pemimpin. Pemimpinlah yang mudah meluahkan perasaan marah, kadang-kadang
tidak terbendung hingga mencemarkan maruah dan wibawa diri. Terjadinya
pemarah kepada pemimpin kerana dia berkuasa atau mahu menonjolkan kuasanya.
Dibolehkan marah, bahkan Tuhan merestuinya selagi dalam batas syariat,
terutamanya marah dalam menjaga kesucian agama dan maruah diri serta
keluarga, inilah namanya marah pada tempat yang tepat, atau marah di atas
kebenaran. Begitupun dibolehkan, namun mesti pula di atas landasan syariat
serta batas-batas, adab dan susila. Marah tetap marah, tetapi sikapnya tetap
lemah lembut, kasih sayang serta tutur kata yang menunjuk ajar dan mendidik.

Orang yang kena marah itu dia tahu yang dirinya dimarahi namun hatinya tidak
terguris. Hatinya tetap merasakan bahawa marah itu adalah marah mendidik.
Berjayalah seorang pemimpin yang dapat mengawal hatinya dari marah nafsu dan
syaitan. Dengan cara itu, dirinya terhindar dari jatuh kepada dosa, manakala
manusia lain mendapat didikan. Marahnya kerana sayang, bukan kerana benci.
Sehingga golongan yang dimarahi itu lebih cepat insaf dan sedar dan segera
bertaubat, membuat perubahan dan segera kembali kepada kebenaran.

12. Selalu memberi maaf
Selain sifat menahan marah, pemaaf juga termasuk sifat yang amat sukar
dilakukan oleh pemimpin atau orang yang berkuasa. Cuba bayangkan betapa rasa
bertuah dan terhutang budinya seorang yang sabit kesalahan dan bakal
menerima hukuman, tiba-tiba mendapat kemaafan. Tentulah dia akan merasakan
sesuatu yang tidak ternilai dengan harta benda dan wang ringgit. Lebih-lebih
lagi dirasakan amat tidak ternilai apabila kemaafan itu datangnya daripada
pemimpin, kerana persepsi umum, seorang pemimpin itu terhadap mereka yang
tidak bersalah pun sanggup dihukumnya. Betapalah kepada orang yang bersalah.
Tentulah dianggap amat aneh apabila ada pemimpin yang sanggup memaafkan
orang yang memang bersalah.

Senjata ini sebenarnya amat berkesan untuk menukar sikap manusia daripada
jahat kepada baik. Sifat pemaaf seorang pemimpin membuatkan manusia
tertambat hati dan mudah menerima pimpinan. Pemaafnya seorang pemimpin itu
menghilangkan tekanan perasaan manusia. Dalam satu-satu masyarakat yang
terlalu banyak berlaku hukuman itu tandanya didikan kurang berlaku. Hukuman
pula menjadikan perasaan manusia tertekan. Timbullah rasa benci dan meluat,
dendam kesumat dan terguris hati. Apabila ini berlaku, kebenaran yang dibawa
oleh pemimpin itu turut ditolak, kesetiaan juga semakin luntur.

Manusia akan lebih cepat merasai bertuhan apabila mendapat kemaafan dari
seorang pemimpin. Fitrahnya dapat merasai bahagia apabila terbongkar fitrah
rasa bertuhan yang Tuhan itu bersifat sangat pemaaf. Sebab itulah pemimpin
umat Islam sangat dituntut memiliki sifat pemaaf, kerana seorang pemimpin
Islam itu dia adalah wakil atau khalifah atau pengganti Tuhan untuk urusan
manusia. Sikap pemimpin mewakili Tuhan itu mestilah selari dan selaras
dengan sifat Tuhan. Dengan cara itu manusia lebih mudah merasai betapa
pemaafnya Tuhan yang maha pemaaf itu.

13. Sedikit gurauan dan tidak bercakap lucah
Ada keterangan di dalam kitab berdasarkan Hadis bahawa banyak gurau senda
diiringi pula dengan ketawa akan menghilangkan seri wajah dan menjatuhkan
wibawa. Gurauan yang berlebihan diselitkan pula dengan sindiran akan membawa
kepada renggangnya persahabatan. Terdapat juga dalam kitab tasawuf yang
mengatakan bahawa gurauan dan ketawa berlebihan itu mendatangkan kesat hati
dan menghilangkan kekhusyukan. Puncanya ialah hati amat lalai dari Tuhan dan
takut kepada Akhirat.

Rasulullah SAW juga bergurau dan berjenaka, tetapi masih dalam berkata
benar. Sesuatu yang lucu disambut oleh Rasulullah SAW dengan senyuman yang
lebar hingga boleh dilihat gigi gerahamnya, tetapi tidak sampai ketawa
berdekah. Itupun seringkali Rasulullah SAW menutup mulutnya dengan tangan.
Rasulullah SAW juga tidak bercakap lucah walaupun dalam perkataan “double
meaning”. Lucah atau mencarut adalah dosa. Lucah juga adalah sesuatu yang
bersifat aib atau malu. Rasulullah SAW sangat pemalu. Sifat malu pula adalah
sebahagian dari iman, bahkan kedudukannya sebagai benteng iman. Sikap inilah
yang dibawa oleh pemimpin kebenaran sebagai gambaran akhlaknya salinan
kepada akhlak Rasulullah SAW.

14. Mendengar pandangan
Tidak ada manusia yang sempurna. Begitulah sifat manusia yang Tuhan jadikan.
Agar dengan itu manusia benar-benar merasakan tidak sempurna, merasa lemah,
dhaif dan serba kekurangan. Memang Tuhan menyukai manusia mengekalkan rasa
kehambaan. Seorang hamba wajib merasakan dirinya hamba. Setiap manusia,
Tuhan kurniakan kelebihan di sudut tertentu, lemah pula di sudut yang lain.
Tuhan berikan keupayaan di bidang tertentu tetapi tidak mampu di bidang yang
lain pula. Tuhan beri ilmu, cerdik dan bijak dalam hal tertentu, bodoh dan
jahil pula dalam banyak perkara lain.

Hikmah di sebalik Tuhan jadikan begitu agar manusia dapat melihat dan
merasakan bahawa Tuhan sahaja Zat yang Maha Sempurna. Hikmahnya selain dari
itu ialah agar manusia berusaha menjalin hubungan dengan sebaik mugkin untuk
menjadikan kehidupan manusia lebih baik dan selesa. Seorang pemimpin
sentiasa memberi ruang kepada pengikutnya memberi pendapat, pandangan, idea
dan cadangan. Bahkan sentiasa mengalu-alukan sumbangan buah fikiran tersebut
yang disifatkan sebagai cadangan, dan dikemukakan dalam suasana
kekeluargaan, persahabatan dan kemesraan. Perkongsian idea itu sentiasa
dalam menjaga batas adab sopan dan tata susila. Rasulullah SAW menerima
pendapat Salman Al Farisi dalam membina khandak (parit). Rasulullah SAW
mengembalikan teknik kepada tuan punya kebun tamar. Dan banyak lagi
peristiwa seumpama ini. Apa yang penting ialah yang empunya diri tidak
merasakan dirinya orang istimewa atau merasakan dirinya lebih bijak
berbanding pemimpin yang mendengar dan menerima pendapatnya. Sayidina Umar
Ibnu Khattab adalah Sahabat yang paling kerap diterima pandangannya oleh
Rasulullah SAW. Namun hatinya tidak cacat dengan meletakkan dirinya lebih
baik dan lebih pintar. Dalam pada itu Sayidina Umar tidak kecil hati apabila
pandangannya ditolak.

Tuhan kurniakan kepada para pemimpin itu beberapa kelebihan berbanding orang
lain. Bergabung pada diri seorang pemimpin itu tiga kekuatan sekaligus iaitu
kekuatan akal, perasaan dan jiwa. Gabungan tiga kekuatan itulah yang
melayakkan dirinya menjadi pemimpin. Namun begitu, tidak pula boleh
selama-selamanya mempertahankan hanya pendapatnya saja yang mesti diterima
terutamanya dalam perkara harus dan teknikal. Ramai para diktator jatuh
terhina dan tersungkur di hadapan rakyatnya sendiri kerana terlalu keras
memaksa rakyatnya menerima apa saja keputusannya dalam keadaan keputusannya
itu banyak yang silap.

15. Peka dengan kehidupan rakyatnya
Pemimpin yang sejati itu sangat peka terhadap situasi rakyatnya. Susah
senang, derita gembira, suka duka rakyat sangat dirasai. Terhadap sesuatu
kegembiraan rakyat maka turut dilahirkan kegembiraan dan bersyukur. Maka
berlakulah suasana gembira di atas kegembiraan dan syukur di atas
kesyukuran. Terhadap kesusahan, kesenangan dan penderitaan dia juga sangat
memberi simpati dan turut membelanya. Kesedihan rakyat adalah kesedihan
hatinya juga. Musibah, ujian dan kegagalan rakyat, dia meletakkan dirinya
sebahagian daripada mereka. Kesusahan hidup rakyat dianggap sebagai dosa
dirinya. Sikap begini sukar untuk dimiliki kecuali atas kurniaan Tuhan.

Di zaman ini mana hendak dicari pemimpin yang peka terhadap rakyatnya
terutama tentang kesusahan. Yang ramai adalah pemimpin yang menindas dan
melakukan diskriminasi serta eksploitasi. Hanya mengambil kepentingan
daripada rakyat tetapi tidak membela rakyat. Kalaupun ada pembelaan, itu pun
di atas sesuatu maksud. Apa yang jelas, kebanyakan pemimpin langsung tidak
mempedulikan rakyatnya. Jauh sekali dari mahu menyelami perasaan rakyat.
Kalaupun sedikit sebanyak dapat juga memenuhi keperluan material rakyat,
namun melupakan soal-soal maknawiyah dan rohaniah. Ertinya tetap tidak
sampai mengisi kebahagiaan di hati rakyat. Rakyat sendiri sudah hilang kasih
sayang, bertolong bantu, pemurah dan pemaaf. Kalaupun tidak bergaduh atau
tidak berkrisis namun tidak pula bersatu padu. Hidup nafsi-nafsi. Akhirnya
tetap juga dilanda oleh seribu satu macam masalah.

16. Sangat sabar dengan karenah manusia
Pemimpin mesti memahami dan menerima hakikat bahawa manusia dengan masalah
tidak ada noktahnya kecuali mati. Kalau begitu, seorang yang hendak menjadi
pemimpin mesti memiliki kesabaran yang luar biasa. Oleh kerana banyaknya
perkara yang “tidak boleh” kepada pemimpin maka sifat sabarlah yang dapat
menahan daripada berlaku perkara yang tidak boleh itu.
Di antara perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pemimpin ialah:

a. Tidak boleh mudah tercabar dengan sebarang karenah masyarakat.
Segala karenah masyarakat, pemimpinlah yang kena selesaikan. Memang Tuhan
jadikan keupayaan masyarakat agak kurang. Kurang upayanya masyarakat itu
Tuhan tampung melalui dikurniakan berbagai kelebihan kepada pemimpin.

b. Tidak boleh mudah ‘tarik’ muka.
Maksud tarik muka ialah terlalu cepat memberi reaksi terhadap sesuatu
masalah melalui perubahan pada wajah atau air muka. Ertinya bila ada
masalah, atau sesuatu yang mencabar, atau ragam manusia, maka berubah
wajahnya kepada masam mencuka, berkerut, merah atau bengis. Wajah-wajah
begini akan menakutkan atau mengecewakan masyarakat.

c. Tidak mudah merajuk.
Pemimpin adalah penaung kepada manusia. Penaung kepada manusia hendaklah
merasai kemanisan dan kepahitan yang datangnya dari manusia. Janganlah hanya
bersedia menerima sesuatu yang sesuai dengan selera saja atau yang
mendatangkan keselesaan semata. Selain dari itu dia tarik diri atau merajuk.
Apabila pemimpin merajuk bertambah kusut dan rosaklah masyarakat. Kepahitan
mesti ditelan oleh pemimpin yang mesti sanggup mengorbankan perasaan demi
kebaikan manusia.

d. Tidak boleh membenci pencabar.
Pemimpin mesti boleh berlapang dada dalam hal-hal yang berbeza pendapat
terutamanya dalam perkara harus dan teknikal. Adakalanya perbezaan pendapat
itu menjadi satu bentuk cabaran dari pihak lain. Andainya tidak mahu
menerima pendapat yang berbeza namun tidak sampai membenci atau memusuhi
pencabar. Rasa tidak senang kepada orang yang mencabar itu adalah tanda
tidak sabarnya seorang pemimpin. Ini boleh memutuskan hubungan antara diri
pemimpin dengan masyarakat. Putus hubungan akan menggagalkan usaha-usaha
mendidik masyarakat.
Apabila pemimpin tidak sabar terhadap manusia, maka siapalah lagi yang akan
membetul, mendidik dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat. Sedikit saja
tidak sabarnya Nabi Yunus, Tuhan telah menegurnya, kerana kesan dari tidak
sabar dan merajuk itu manusia akan bertambah terbiar.
Begitu besar dan beratnya tugas pemimpin maka ia memerlukan pengorbanan
masa, tenaga, kesihatan, kerehatan, kepentingan, keselesaan dan kesenangan.
Keadaan ini semua hanya dapat dilakukan dengan memiliki sifat sabar. Sabar
yang benar-benar disandarkan kepada Tuhan. Sabar yang benar-benar datang
dari lubuk hati yang amat yakin akan kedatangan Akhirat.

17. Adil pakaiannya
Keadilan adalah sesuatu yang paling banyak dituntut oleh manusia. Oleh
kerana keadilan itu banyak dituntut untuk diri sendiri maka ketidakadilan
itu pula paling banyak dituding kepada orang atau pihak lain. Berlaku ini
semua adalah berpunca kerana rata-rata manusia tidak memahami erti keadilan
yang sebenar. Dalam waktu yang sama masing-masing mentakrifkan keadilan itu
menurut pengertian sendiri dan untuk kepentingan diri atau kelompok sendiri.

Contoh paling mudah berhubung perbezaan erti keadilan ialah antara fahaman
demokrasi dan komunis. Ini belum lagi diambil kira tentang perbezaan erti
keadilan menurut individu atau satu kelompok. Antara kerajaan dan rakyat pun
sering berlaku pertikaian mengenai keadilan.
Dalam ajaran Islam, keadilan itu ertinya meletakkan sesuatu itu tepat pada
tempatnya. Apabila diperincikan rangkaikata tersebut maka huraiannya amat
luas. Ianya bermula dengan meletakkan hati dan roh itu tepat pada tempatnya
yakni sangat kenal Tuhan, mahu kepada Tuhan, sangat perlukan rasa bertuhan.
Inilah keadilan yang paling pokok dan utama. Apabila hati atau roh tidak
dibawa kepada rasa bertuhan maka kezaliman paling besar telah berlaku.

Seorang pemimpin yang zalim ialah apabila dirinya tidak merasai bertuhan,
tidak membawa rakyatnya kepada Tuhan, lebih-lebih lagilah apabila menolak
atau menghalang rakyat daripada mengenali Tuhan. Selain itu pemimpin yang
adil ialah apabila mengamalkan syariat Tuhan dalam apa aspek sekalipun. Dan
syariat itu pula dibawa kepada keluarga, masyarakat, negara dan umat.
Barulah diiringi pula dengan keadilan dalam menentukan bidang-bidang manusia
mengikut bidang, urusan dan kemampuan, pembahagian harta benda menurut
keperluan. Keadilan dalam soal hukum-hakam, penghakiman, perundingan dan
yang berkaitan dengannya adalah sesuatu yang amat jarang berlaku dalam
kehidupan masyarakat Islam.

Keadilan dalam apa jua bentuk penghakiman dan hukuman sangat berkait rapat
dengan soal iman dan taqwa. Bagi orang beriman dan bertaqwa, andainya
disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman maka dia menerimanya sebagai adil
dan rela. Tanpa iman dan taqwa maka segala hukum hudud dianggap zalim. Oleh
itu, hudud itu setelah manusia terlebih dahulu adil kepada dirinya iaitu
dengan beriman dan bertaqwa.
Dengan iman dan taqwa, ia menjadi benteng kejahatan dan kemungkaran. Dalam
masyarakat yang beriman dan bertaqwa, kejahatan sangat minima. Kejahatan
yang minima itu di mana ianya menggugat ketenteraman masyarakat, barulah
hudud itu berlaku dengan tepat menurut jenis dan kategori kejahatan.

Oleh itu seorang pemimpin yang adil itu tidak boleh dilihat kepada sekadar
adil dalam mengagih harta benda sama banyak dan terhenti setakat betul dalam
perlaksanaan hudud. Tidak ada indahnya andai berlaku keadilan dalam dua tiga
aspek cabang ini. Sebab itu keadilan itu sifat yang sangat hampir kepada
taqwa, kerana amat payah untuk berlaku adil secara keseluruhan bermula
dengan adil kepada Tuhan, bersyariat, berakhlak dalam segala aspek. Inilah
pakaian para rasul, khalifah Ar Rasyidin dan pemimpin pilihan Tuhan. Hati
mereka dipimpin oleh Tuhan sehingga sekecil-kecil perkara diletakkan tepat
pada tempatnya. Betapalah yang utama iaitu meletakkan hati tepat terhadap
Tuhannya. Keadilan di sudut inilah yang membawa pemimpin kepada keadilan
lainnya.

18. Pemurah tradisinya
Pemimpin yang kedekut orang akan benci. Sebabnya mudah saja, kerana fitrah
manusia membenci sifat kedekut. Orang yang kedekut sekalipun amat menyenangi
kalau orang lain pemurah kepadanya. Dalam konteks menyebarkan kebenaran,
menambat hati manusia amat penting. Bagaimana kebenaran hendak disampaikan
kalau manusia menolaknya dan menjauhkan diri lantaran kedekut. Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: “Pemurah itu hampir dengan Allah, hampir dengan
manusia, hampir dengan Syurga dan jauh dari Neraka. Manakala kedekut pula
jauh dari Allah, jauh dari manusia, jauh dari Syurga dan dekat dengan
Neraka.”

Mengapa orang yang pemurah itu dekat dengan Allah SWT? Kerana dia memakai
salah satu sifat pemurah Tuhan. Tuhan menyukai hamba-Nya yang memakai
sifat-sifatNya kecuali sombong. Pemurahnya seorang pemimpin pula dapat
menjadi contoh kepada manusia lain. Dalam masyarakat yang rata-rata pemurah,
sudah tentu berlaku saling bela-membela. Apabila berlaku saling bela-membela
maka kasih sayang semakin subur dan kukuh pula perpaduan. Di sinilah
pentingnya sifat pemurah para pemimpin yang akhirnya natijahnya hingga dapat
mengukuhkan perpaduan.

19. Cita-cita dan kemahuannya tinggi dan keras
Pemimpin pilihan Tuhan ini, Tuhan cukupkan segala keperluan teurtamanya
ciri-ciri dan syarat-syarat kepimpinan. Salah satu daripadanya ialah
mempunyai cita-cita yang tinggi dan kemahuan yang keras. Tanpa cita-cita
tinggi dan kemahuan yang keras, seseorang pemimpin itu akan gagal
melaksanakan kerja-kerja Tuhan. Sebab bukan mudah untuk membawa manusia
kembali kepada Tuhan dan hidup bersyariat. Terlalu banyak halangan dan
rintangan, terutamanya dari nafsu manusia itu sendiri. Sejarah telah
memperlihatkan betapa sukarnya para rasul berhadapan dengan kaumnya. Sedikit
sangat yang menerima seruan para rasul. Sebaliknya majoriti adalah menjadi
penentang. Penentangan pula hingga sampai ke tahap tergadai nyawa seperti
Nabi Zakaria, dihumban ke dalam api seperti Nabi Ibrahim.

Begitu besar ancaman kepada pemimpin kebenaran. Kalaulah mereka tidak punyai
cita-cita tinggi dan kemahuan yang keras, nescaya akan mudah mundur, kecewa
dan putus asa. Kerana tidak mundur, tidak kecewa dan putus asa maka mereka
tetap meneruskan perjuangan dengan seribu satu macam cara, strategi dan
teknik. Apa yang utama bagi mereka ialah manusia mesti dibawa kepada Tuhan.
Keyakinan dan cinta kepada Tuhan dan hari Akhirat menjadikan mereka tidak
tergugat dengan kesusahan mahupun kelazatan dunia serta tidak menjejaskan
cita-cita tinggi dan kemahuan keras untuk membawa manusia kepada Tuhan.

20. Tidak mengugut sesiapa
Pemimpin yang berjaya dalam kepimpinannya ialah yang punya wibawa atau
karisma luar biasa. Kewibawaannya itu sudah cukup menjadi satu kuasa magnet
menawan hati rakyat. Dengan taqwa yang dimilikinya manusia menjadi kecut
hati untuk berbuat kesalahan secara terang-terangan. Tanpa ugutan pun mereka
yang bersalah, hati kecilnya sendiri pun merasai dirinya bersalah dan
hatinya sendiri yang mendorong untuk insaf dan membuat perubahan.

Sebaliknya jika seseorang pemimpin itu sangat suka mengugut dan mengancam
pengikut atau rakyatnya, ini menunjukkan dirinya tidak berwibawa. Dia
sendiri merasakan sudah hilang sokongan, sudah hilang populariti, sudah
hilang kesetiaan dan rakyat sudah tidak mempercayainya lagi. Maka
terpaksalah dia mengugut-ugut rakyat.

Bukanlah sesuatu yang aneh atau luar biasa kalau terdapat juga ketidakpuasan
hati rakyat yang tidak dapat dielak bilamana pemimpin dan pengikut mempunyai
selera yang berbeza. Tetapi amat aneh dan luar biasa apabila seorang
pemimpin memusuhi pengikut atau rakyatnya. Apabila seorang pemimpin memusuhi
rakyatnya, siapa lagi yang akan berperanan menyatupadukan rakyat dan menjadi
pendamai dalam masyarakat?

Pemimpin yang memusuhi rakyat ertinya dialah yang menjadi punca perpecahan
dan krisis. Tentulah tidak dapat dielak berlaku adanya kelompok yang kekal
setia, kelompok yang menentang dan kelompok yang terpinga-pinga tidak tahu
hendak memihak kepada siapa dan akan ada pula kelompok yang terus
berkecuali. Empat kelompok seumpama ini hanya akan terjadi apabila pemimpin
memusuhi rakyat.

Dari sinilah sering terjadi pemimpin itu akan mengugut dan mengancam
pengikut atau rakyatnya dalam berbagai bentuk. Namun ugutan itu bukan
menjadikan rakyat berputar kembali menerimanya bahkan bertambah sakit hati
dan membenci. Kalau sampai bertindak menghukum rakyat dengan bermacam-macam
cara, terjadi reaksi ganas dari pihak rakyat yang boleh mencetuskan suasana
yang lebih parah lagi.

Mudah bagi seorang pemimpin untuk membuat ugutan dan ancaman kerana selain
punya kuasa, pemimpin juga punya berbagai jentera yang boleh berbuat apa
saja. Melalui ugutan itu rakyat mungkin takut lantas mendiamkan diri. Tetapi
apakah dengan cara itu akan menyelesaikan masalah? Jawabnya tentulah tidak
akan menyelesaikan masalah melainkan rakyat akan memendam rasa dan menyimpan
dendam kesumat yang berpanjangan.
Hanya di bawah seorang pemimpin yang berwibawa, hati rakyatnya dapat
disatukan dan terjalin kasih sayang.

Lihatlah sejarah Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz, di zaman pemerintahannya
bukan saja Tuhan jadikan manusia bersatu hati dan berkasih sayang, kambing
dan serigala pun tidak bermusuh bahkan boleh bermain bersama. Kalau manusia
boleh juga berpura-pura berdamai dan bersatu kerana diugut atau dirasuahkan.
Tetapi bagaimana hendak mendamaikan serigala yang kambing itu adalah
makanannya.

Setelah rakyat berjaya disatukan dan berkasih sayang, hidup aman damai,
ugutan boleh ditujukan kepada kelompok yang masih terlalu degil, keras hati
atau keras kepala. Kepada kelompok pengacau seumpama ini boleh dihantar
mesej ancaman kerana mereka boleh menggugat ketenteraman majoriti yang aman
damai. Andainya mereka benar-benar tidak insaf dan tidak mahu berubah
barulah tindakan boleh diambil ke atas mereka. Itu pun masih dalam batas
syariat dan adab sopan yang tidak sampai mengguris hati atau tidak akan
bertambah suburnya mazmumah mereka.

Pendek kata ancaman dan ugutan itu hanya jalan keluar dan usaha lahir
setelah segala ikhtiar lain tidak dilaksanakan. Ertinya ugutan dan ancaman
bukan senjata utama dalam memperelokkan perangai, akhlak, tabiat dan tingkah
laku rakyat. Apabila seorang pemimpin itu hatinya sangat tunduk, patuh dan
hancur lebur kepada Tuhannya, Tuhan jadikan hati rakyatnya tunduk, patuh dan
setia kepada kepimpinannya atas dasar kerana patuh kepada perintah Tuhan.
Apabila hati pemimpin itu lari dan liar dari Tuhan, maka Tuhan jadikan hati
rakyatnya turut liar dan ingkar dari kepimpinannya. Bagi seorang pemimpin
kebenaran apabila berlaku keingkaran rakyatnya dia akan kembali membaiki
dirinya dan menambahelokkan hubungan hatinya dengan Tuhan.

Selain daripada dua puluh ciri kepimpinan yang berjaya yang juga merupakan
gambaran betapa beratnya dan besarnya tanggungjawab pemimpin yang telah
dihuraikan di atas, berikut adalah senarai ciri-ciri kepimpinan yang
diturunkan di sini tanpa huraian.

21. Tidak kecewa dan putus asa.

22. Musuhnya sangat benci biarpun hati mereka mengakui kebenaran yang
dibawanya.

23. Sangat mencorak masyarakat dan bukan masyarakat yang mencoraknya kerana
dia mempunyai prinsip yang teguh. Prinsip hidupnya adalah syariat Tuhan yang
amat sempurna yang tidak berubah di sepanjang zaman.

24. Percakapannya atas dasar ilmu yang termasuk dari sumber ilham dalam
memahamkan sesuatu ajaran Islam.

25. Tidak menjawab tuduhan. Atau kalau perlu menjawab tuduhan sekadar
menjelaskan sesuatu kekeliruan atau untuk tujuan menghilangkan fitnah.

26. Tidak mendabik dada atas kejayaan, kerana untuk menghindari syirik khafi
yang merasakan dirinya berbuat dan membuat kejayaan.

27. Tidak sombong dan menjauhi dari mengungkit jasa-jasanya. Tidak ada
seorang pun manusia boleh membuat semua perkara melainkan sentiasa ada pihak
lain yang turut menyumbamg kejayaan sesuatu idea itu melainkan ada sumbangan
buruh, petani, nelayan, pemandu, tukang masak dan pembancuh kopi. Kalau
begitu tidak timbul jasa itu diungkit sebagai dirinyalah yang berbuat.

28. Merendah diri atau tawaduk.

29. Bercakap bila perlu, dan banyak diamnya.

30. Tiada kerja sia-sia. Disiplin hidupnya sangat ketara, sehingga tiada
masa terbuang begitu saja.

31. Dirinya menjadi contoh atau model terutamanya dalam aspek berikut:
i. Ilmu pengetahuan
ii. ibadah
iii. akhlak
iv. rumahtangga

Cakapnya adalah menterjemahkan apa yang dibuatnya. Manusia mudah faham dan
mudah meniru kerana cakapnya berserta dengan contoh atau model. Dia tidak
sekadar bersifat menyuruh orang lain berbuat.

Pos ini dipublikasikan di Leadership dan tag . Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout /  Ubah )

Foto Google

You are commenting using your Google account. Logout /  Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout /  Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout /  Ubah )

Connecting to %s